
DVS Sabah Wilayah Sandakan telah berjaya menganjurkan Program Potong Royong Kembiri Anjing Terbiar Sempena Jubli Emas Ke-50 Tahun DVS Sabah bersama-sama SPCA Sandakan dan Klinik Vet2Go Telupid.
Program Potong Royong DVS Sabah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dalam usaha mengawal populasi anjing secara berhemah melalui aktiviti pemandulan/kembiri, di samping meningkatkan tahap kebajikan haiwan dan kesedaran masyarakat terhadap pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.
Pelaksanaan program ini telah menyediakan platform kerjasama yang lebih erat antara DVS Sabah, SPCA Sandakan dan Klinik Haiwan Swasta dalam menangani isu populasi anjing serta kebajikan haiwan secara lebih tersusun.
Program ini juga menjadi pendekatan praktikal dalam mendidik masyarakat bahawa pengawalan populasi melalui pemandulan/kembiri merupakan salah satu langkah penting ke arah pengurusan populasi anjing yang lebih bertanggungjawab dan mampan.
Pelaksanaan program telah berjaya melaksanakan prosedur pemandulan/kembiri terhadap *50 ekor anjing terbiar, terdiri daripada 28 ekor anjing betina dan 22 ekor anjing jantan* Program ini melibatkan kerjasama kakitangan DVS dari Sandakan, Beluran, Kota Kinabatangan, Telupid dan Tongod.
Secara keseluruhannya, Program Potong Royong DVS Sabah telah dilaksanakan dengan kerjasama baik daripada semua pihak yang terlibat. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa melalui penglibatan DVS Sabah, NGO kebajikan haiwan serta komuniti setempat. Kerjasama berterusan ini penting dalam usaha mewujudkan komuniti yang lebih prihatin terhadap kebajikan haiwan, membantu mengawal populasi anjing dan menyokong usaha pencegahan serta kawalan rabies di Sabah.