Laman Web Rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Department of Veterinary Services Sabah

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Halatuju Dan Teras Utama Pembangunan Sektor Pertanian (Sub-Sektor Ternakan)

Negeri Sabah telahpun mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran telur dan daging khinzir. Daging ayam memenuhi 90% daripada keperluan, susu segar cair sebanyak 65%, daging lembu dan kerbau sebanyak 12%. Pada tahun 2002, nilai import komoditi ternakan bernilai RM216 juta berbanding dengan nilai eksport berjumlah RM53.7 juta. Pertumbuhan industri ini ialah 3.8% dengan hasil komoditi ternakan bernilai RM530 juta. Industri ternakan menyumbangkan 4.5% kepada keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Sabah.

Polisi Pembangunan ternakan akan ditumpukan kepada usaha meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan produk ternakan berkualiti tinggi dipasaran tempatan dan juga membuka ruang untuk di eksport. Usaha menerokai pasaran antarabangsa terutamanya makanan halal berasaskan ternakan akan dilaksanakan. Pengeluaran ternakan terpilih akan diberikan galakan bagi memenuhi permintaan bahan mentah yang dapat meransang pertumbuhan industri pemprosesan berasaskan ternakan. Sehubungan dengan ini pengeluaran ternakan ayam dan telur akan ditingkatkan untuk memenuhi permintaan bahan mentah aktiviti pemprosesan hiliran. Langkah-langkah untuk meningkatkan produk daging segar lembu, kerbau dan kambing serta produk tenusu bagi memenuhi permintaan tempatan akan dilaksanakan. Rusa yang diternak sebagai daya tarikan serta produk tenusu bagi memenuhi permintaan tempatan akan dilaksanakan. Rusa yang diternak sebagai daya tarikan agropelancongan akan dipromosikan untuk diternak secara besar-besaran sebagai alternatif sumber daging.

Ternakan lain yang akan turut diberikan perhatian ialah ternakan burung unta (ostrich), puyuh, itek, angsa, ayam belanda, burung merpati, kijang dan lain-lain binatang yang boleh diternak mengikut permintaan pasaran. Kajian pembangunan berterusan akan dilaksanakan terhadap produk baru yang berpotensi untuk dijadikan bahan makanan dan juga atas desakan permintaan pasaran tempatan dan luar negara. Penyertaan sektor swasta dalam bidang ini akan diberikan galakan dan insentif.

Transformasi Industri Ternakan

Sistem perladangan tradisional secara kecil-kecilan yang kurang efisien dan produktif akan ditransformasikan menjadi ladang berdaya maju, berdaya saing dan sustainable. Bagi merealisasikan program ini pada penternak lembu tenusu, lembu pedaging, kerbau, kambing dan rusa akan dibekalkan dengan baka ternakan bermutu tinggi untuk dibiakbaka. Penternakan secara komersil dan besar-besaran berasaskan penggunaan teknologi moden akan diberikan galakan dan insentif. Melalui program ini penggunaan tanah secara optima akan diberikan perhatian khusus, contoh program ini ialah skim intergrasi ternakan dengan tanaman komoditi atau tanaman hutan komersil. Bagi menjamin bekalan baka ternakan bermutu tinggi sentiasa mencukupi, sektor swasta akan diberikan galakan dan insentif untuk menceburi bidang pengeluaran baka ternakan bermutu melalui sistem pembiakan saintifk terancang di ladang pembiakan baka dan penetasan ternakan komersil.

Kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ternakan dalam bidang pembiakan, pemakanan, kesihatan dan pengeluaran ternakan secara ekonomikal akan diperluaskan. Penggunaan teknologi dalam aktiviti penternakan, pemprosesan makanan ternakan, penyimpanan produk, pengangkutan produk dan pengendalian produk ternakan akan diberikan keutamaan.

Jawatankuasa Pembangunan Industri Ternakan (JPIT) akan diperluaskan bagi meliputi lebih banyak jenis ternakan dan aktiviti penternakan. Jawatankuasa ini dianggotai oleh persatuan-persatuan penternak, pengeksport, pengimport, penternak komersil dan juga wakil kerajaan. Diantara bidang industri ternakan yang dikenalpasti perlu menubuhkan jawatankuasanya ialah, industri tenusu, industri lembu pedaging, industri ternakan ayam, khinzir, pengeksport dan pengimport ternakan. Diatantara lain, aktivitinya ialah mencari jalan penyelesaian apabila timbul permasalahan rumit yang perlu ditangani secara kolektif.

Ladang Ternakan Integrasi

Berbagai skim galakan dan insentif akan dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pekebun kecil, syarikat-syarikat swasta dan estet-estet kelapa sawit melaksanakan integrasi dengan ternakan lembu, kerbau, kambing atau rusa. Usaha ini dapat membantu mencapai sasaran 30% keluaran aging tempatan menjelang tahun 2010.

Industri tenusu di negeri Sabah akan dimajukan lagi sehingga mencapai tahap pengeluaran eksport. Sehingga kini, Industri tenusu telah menggeluarkan 3.6 juta liter susu segar dengan nilai pendapatan penternak RM5.3 juta. Industri tenusu juga telah menyumbangkan sebanyak 30% daripada pengeluaran daging lembu pada tahun 2002.

Rumah-rumah Penyembelihan Ternakan

Untuk menghadapi cabaran pelaksanaan AFTA dan perdagangan bebas dunia, rumah-rumah penyembelihan ternakan atau "abattoir" akan dipermodenkan mengikut piawaian antarabangsa (international). Kaedah perundangan "Meat Inspection Rules dan Slaughter House Rules" akan dikuatkuasakan untuk mengatur dan mengawal industri ternakan. Pemeriksaan ante-mortem dan post-mortem ke atas daging-daging ternakan yang diproses diloji pemprosesan daging milik swasta dan kerajaan akan dilakukan secara rawak dan konsisten.

Penyembelihan ternakan ayam, kerbau, kambing, rusa dan lain-lain ternakan yang halal dimakan oleh penganut agama Islam dikehendaki mematuhi peraturan yang ditepakan bagi memastikan produk-produk tersebut halal dan tidak menimbulkan keraguan di kalangan pengguna beragama Islam. Usaha ini selari dengan matlamat menjadikan Sabah pengeluar utama makan halal di Malaysia (Halal Food Hub). Sebagai hasil sampingan daripada aktiviti penyembelihan ternakan kerbau, lembu, kambing, rusa dan ostrich (burung unta), Pusat Pemerosesan Kulit Ternakan (tannery centre) untuk memproses kulit-kulit ternakan akan diperbanyakkan. Aktiviti Pusat Teknologi Daging (Meat Technology Centre) sepertimana yang dilaksanakan di Kinarut akan dikembangkan ke kawasan lain yang berpotensi. Penubuhan lebih banyak pusat dan kompleks pelbagai guna ini akan dapat meransang pertumbuhan industri ternakan.

Jaminan Kualiti

Semua pengusaha pemerosesan hasil ternakan akan diminta mematuhi sistem piawaian antarabangsa yang sedang berkuatkuasa. Diantara pengiktirafan ini ialah, persijilan MS ISO 9002, VHM logo (Veterinary Health Mark), HACCP (Hazard Analysis and Centre of Critical Point), GAHP (Good Animal Husbandry Practices), GMP (Good Manufacturing Practices) dan SCEP (Salmonella Control and Eradication Programme). Langkah pertama yang diambil ialah menghantar contoh darah (serum) ternakan ke Paris untuk dianalisa bagi mendapatkan pengiktirafan bebas dari penyakit FMD (Foot and Mouth Disease). Pengiktirafan ini kelak akan memberikan kekuatan kepada industri ternakan untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

Skim Akreditasi Ladang Ternakan (SALT) akan diperkenalkan kepada kesemua penternak yang berkelayakan. Para penternak akan diberikan galakan supaya menyertai skim ini dengan memenuhi syarat-syarat yang ditentukan. Skim akredetasi ini dapat menjamin mutu dan kualiti bagi membolehkan produk dipasarkan di pasaran tanpa menimbulkan keraguan dikalangan pengguna.

Kawalan mutu ternakan akan disokong oleh program pembangunan dan penyelidikan (R&D) supaya hasil ternakan dapat ditingkatkan melalui sistem pengurusan yang cekap, pengeluaran baka ternakan bermutu tinggi dan kawalan penyakit ternakan yang berkesan. Negeri Sabah juga akan terus berusaha mempertahankan statusnya sebagai negeri bebas daripada penyakit ternakan seperti Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), Nipah Virus, Mad-Cow Disease (BSE), Avian Influenza (AI) yang boleh mendatangkan kemudaratan pasaran produk ternakan keluaran tempatan. Oleh itu langkah berterusan akan dimabil untuk melaksanakan program pevaksinan strategik, pengawalan pergerakan ternakan, langkah-langkah biosekuriti, ujian serologi, servelen penyakit aktif dan pasif serta pengawalan pengimportan ternakan berpenyakit.