Laman Web Rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Department of Veterinary Services Sabah

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Unit Inkubator Industri Asas Ternakan (UIIAT)

PENDAHULUAN

Negeri Sabah merupakan salah satu negeri di Malaysia yang memiliki segala kelebihan untuk menjadi pengeluar utama ternakan dan hasil ternakan.  Sabah telah pun mencapai tahap saradiri dalam pengeluaran telur, daging ayam, daging khinzir dan susu segar.  Berasaskan kepada statusnya yang bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD) serta bebas daripada beberapa penyakit ternakan yang lain, serta masih memiliki kawasan tanah yang luas maka negeri ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk menerajui industri ternakan khususnya ternakan ruminan di negara ini.

Usaha penternakan secara komersial telah lama diamalkan di negara ini. Walaubagaimanapun, bidang usaha penternakan khususnya ruminant dilakukan hanya sehingga tahap menghasilkan produk mentah seperti daging, susu segar,  dan ternakan hidup sahaja. Usaha untuk menghasilkan produkhiliran seperti bebola daging, burger, nugget, sosis, ais krim, dadih, yoghurt, mentega, keju, serta barangan berasaskan kulit ternakan yang mempunyai pasaran yang lebih luas, masih belum dilaksanakan secara komersial khususnya di negeri Sabah. 

LATAR BELAKANG

Negeri ini menghasilkan tidak kurang dari 800,000 hingga 900,000liter susu segar setiap bulan, manakala jumlah ternakan ruminant hidup yang disembelih setiap bulan adalah tidak kurang daripada 300 ekor yang terdiri daripada lembu,  kerbau dan kambing.  Dalam tempoh 5 – 10 tahun yang akan dating ternakan rusa juga boleh menyumbang kepada pengeluaran daging dalam negeri ini. Lazimnya  produk mentah yang dihasilkan dijual langsung kepada pengguna, sementara kulit ternakan pula biasanya dibuang dan tidak diproses menjadi barangan kulit. 

Usaha untuk meningkatkan pendapatan para pengusaha ternakan ruminant dinegeri ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran , sementara pemprosesan hiliran juga perlu dibuat agar bukan hanya nilai tambah yang  dapat diperolehi tetapi juga  dapat memperluaskan lagi saiz pasaran hasil-hasil ternakan tersebut. Pemprosesan hiliran juga akan dapat mengurangkan impot bahan-bahan hasilan ternakan ( keju, mentega, ghee, bebola daging, burger dan semua barangan berasaskan kulit ternakan ) daripada negara lain.

Oleh yang demikian, pemprosesan hiliran keatas produk-produk ternakan yang dihasilkan dinegeri ini boleh menjadi satu industri yang besar dan menjanjikan pulangan yang sangat baik serta membuka peluang-peluang perniagaan yang baru kepada penternak atau bakal pengusaha disamping itu usaha mewujudkan industry pemprosesan kulit akan dapat memanfaatkan kulit ternakan ruminan (yang selama ini tidak dimanfaatkan ) menjadi jaket , kasut , beg tangan , tali pinggang, topi , dompet , serta barangan lain yang berasaskan kulit yang mana sangat digemari oleh penduduk di negara ini.    

KOMPONEN PROJEK

Projek ini merangkumi beberapa komponen seperti berikut:

Pemprosesan hiliran susu segar

Unit ini akan melaksanakan kajian-kajian pemprosesan hiliran susu segar dan dijangka akan dapat menghasilkan hasilan susu segar seperti dadih, aiskrim, keju, mentega, ghee, dan yoghurt .  Sebuah bangunan yang dilengkapi dengan peralatan memproses susu segar menjadi produk-produk yang tersebut di atas serta peralatan untuk pembungkusan dan penyimpanan akan diwujudkan.

PemprosesanDaging

Unit ini akan melaksanakan kajian-kajian pemprosesan hiliran daging dan dijangkaakan dapat menghasilkan produk seperti burger, bebola daging, nugget dan  veal.  Unit ini akan dilengkapi dengan peralatan-peralatan untuk tujuan pemprosesan daging menjadi produk-produk yang tersebut di atas serta juga dilengkapi dengan peralatan pembungkus dan stor penyimpanan.

PemprosesanKulit

Unit ini akan melaksanakan kajian-kajian pemprosesan kulit lembu, kulit kerbau, kulit kambing/bebiri dan kulit rusa.  Unit ini akan dilengkapi dengan mesin dan peralatan penyamakan kulit yang dihasilkan daripada semua rumah-rumah sembelih di Sabah. 

Latihan

Unit latihan akan melaksanakan kursus dan latihan amali dalam pemprosesan hiliran berasaskan susu segar, daging segar dan juga kulit ternakan. Bakal pengusaha yang berpotensi untuk dimajukan akan dipilih untuk menjalani latihan dalam program ini dan akan dibimbing sehingga mereka menjadi  pengusaha yang berjaya dalam salah satu bidang usaha yang tersebut di atas (KAEDAH MENTOR-MENTEE). Jabatan ini juga akan bekerjasama dengan pihak MARDI, MARA serta pusat-pusat latihan berkenaan di luar negara untuk mendapatkan latihan dan kursus bagi kakitangan yang bertugas . Sebuah pusat pemprosesan kulit di Filipina dan 2 buah pusat latihan pemprosesan kulit di Indonesia telah dikenal pasti sebagai tempat untuk menjalani latihan bagi kakitangan jabatan ini. 

Pembangunan Usahawan

Unit ini bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan lanjut (selepas kursus) kepada pengusaha ternakan yang berpotensi dalam usaha untuk membangun usahawan yang berjaya dalam bidang-bidang pemprosesan hiliran berasaskan ternakan.  Mesin dan peralatan akan disediakan secara pinjaman atau geran kepada pengusaha yang kurang modal. Selain daripada itu pengusaha juga akan dibimbing untuk mendapatkan bantuan modal untuk membeli peralatan daripada agensi-agensi kerajaan yang lain yang terlibat dalam pembangunan usahawan bertaraf IKS. Seramai 3 usahawan pemprosesan kulit ternakan dan 30 orang pengusaha barangan kulit akan dibangun, selain daripada itu beberapa pengusaha juga akan dibangun seperti berikut: Pengusaha aiskrim (10), Pengusaha mentega/butter/mozarella cheese/Ghee (10), Pengusaha daging (10) dan baja organik/biogas (10).

Pemprosesan Hasilan Unggas

Unit ini akan menjalankan aktiviti penanganan, pemprosesan dan pembungkusan hasil-hasil daripada ternakan unggas seperti daging dan telur agar ianya lebih bersih, selamat dan menarik kepada pengguna. Pemprosesan, Pelabelan dan Pembungkusan produk yang dihasilkan oleh penternak perlu dimulakan agar penternak kecil dan sederhana boleh mendapatkan nilai tambah produk dan boleh bersaing di pasaran terbuka.

OBJEKTIF/TUJUAN DARIPADA PROGRAM/PROJEK

Projek ini mempunyai beberapa tujuan seperti berikut:

  1. Membangun usahawan yang berjaya dalam bidang pemprosesan hiliran susu segar.
  2. Membangun usahawan yang berjaya dalam bidang pemprosesan hiliran daging.
  3. Membangun usahawan yang berjaya dalam bidang pemprosesan kulit ternakan menjadi barangan kulit.
  4. Pemprosesan hiliran akan dapat meningkatkan lagi nilai (value added) produk mentah / produk sampingan yang dihasilkan dan akan dapat meningkatkan pendapatan pengusaha ternakan.
  5. Pemprosesan hiliran akan dapat meningkatkan saiz pasaran produk mentah akibat daripada peningkatan dalam jumlah pengguna dan boleh memacu perkembangan industri ternakan ruminan.
  6. Memberi  peluang pelaburan dan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.
  7. Mengatasi masalah pencemaran alam sekitar oleh sisa buangan dari kandang ternakan dengan cara memanfaatkan sisa tersebut menjadi biogas dan baja organik.
  8. Menyediakan peralatan pelabelan produk dan pembungkusan bagi produk-produk ternakan yang dihasilkan oleh pengusaha ternakan yang berskala kecil dan sederhana.