Laman Web Rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Department of Veterinary Services Sabah

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Hari Ladang Peringkat wilayah Kudat

Program Hari Ladang Peringkat Wilayah Kudat Tahun 2022 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah telah diadakan pada 20 Jun 2022 (Isnin) di Perkarangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau. Program ini merupakan kesinambungan dari Seminar Pemakanan Ternakan Ruminan Siri 1 yang diadakan secara maya dengan sesi perkongsian dari Peternak Jaya dari setiap wilayah. Objektif program ini adalah sebagai satu platform untuk perkongsian ilmu berkaitan dengan kesihatan ternakan gerompok dan penyediaan makanan alternatif daripada penternak kepada penternak dalam memperkasakan lagi industri ruminan di negara Malaysia khususnya di negeri Sabah. Program ini julung kali diadakan selepas Pandemik Covid 19 yang dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Ternakan (PIT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), YBrs Dr Jamaun Angkap. Program yang berlangsung selama lima jam ini turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Seksyen Pentadbiran dan Pengurusan JPVS, Tuan Yusrinsyam bin Yusop, Dr. Candyrine Su Chui Len, Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Gerard Yaga (Unit Padang Ragut JPVS), En Thomas Sugara (Unit Ruminan dan Tenusu), barisan Pegawai Penguasa Daerah, Pengurus Ladang serta anggota kakitangan JPVS Wilayah Kudat.

 

Acara ini dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama padu daripada ahli Jawatankuasa Induk Hari Ladang dari Ibu Pejabat dan juga ahli Jawatankuasa Kecil Hari Ladang Peringkat Wilayah Kudat.  Seramai 48 orang peternak yang telah menghadiri program tersebut iaitu 27 orang dari daerah Ranau, 13 orang dari daerah Kota Marudu, 2 orang dari daerah Kudat dan 6 orang dari daerah Kota Belud. Manakala seramai 35 orang anggota kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang turut sama memeriahkan lagi program ini.

 

Pada jam 7.30 pagi acara ini dimulai dengan ketibaan dan sesi pendaftaran para jemputan yang hadir dan dilanjutkan dengan nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku dan bacaan doa. Kemudian ucapan alu - aluan disampaikan oleh Penolong Pengarah Wilayah (PPW) Kudat, Dr Noorsyakilah binti Mohamud dan program diteruskan dengan ucapan serta perasmian acara dari Timbalan Pengarah PIT, YBrs Dr Jamaun Angkap. Beliau menegaskan bahawa penyakit Kuku, Mulut dan Kaki kini semakin berleluasa di negara jiran, Indonesia dan penternak perlulah peka dengan penyakit ini kerana boleh mengakibatkan kerugian ekonomi yang sangat besar. Penternak juga perlulah berusaha mendalami ilmu - ilmu pemakanan alternatif kepada ruminan memandangkan situasi geopolitik di negara - negara luar yang bergolak menyebabkan kekurangan bekalan asas makanan ternakan dalam negara yang seterusnya menyumbang kepada ketidakstabilan harga. Hal ini sudah memberi impak kepada para penternak.

 

Program diteruskan dengan taklimat Kesihatan Ternakan Ruminan yang disampaikan oleh PPW JPV Wilayah Kudat dan taklimat Pengurusan Ternakan Ruminan oleh Dr Candyrine Su Chui Len. Kedua - dua taklimat ini telah mendapatkan respon yang positif dari para penternak dan kuiz telah dibuat setelah taklimat yang pertama. Seramai  tiga orang penternak yang telah ikut serta dalam kuiz dan memenangi garam mineral. Dalam pada masa yang sama, sesi demonstrasi kambing golek juga telah dibuat oleh penternak Tn. Sably Yussin.

 

Kemeriahan acara ini dilanjutkan dengan penyampaian cenderamata kepada urusetia dan jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan acara ini, penceramah,dan penternak jaya, Tn Sably Yussin. Seterusnya, sesi dialog bersama penternak telah diadakan bersama penternak, JPV Sabah dan UMS yang diwakili oleh Dr Jamaun Angkap, Tn Yusrinsyam Yusop, Dr Noorsyakilah binti Mohamud dan Dr Candyrine Su Chui Len. Antara soalan dan isu yang diutarakan oleh para peternak adalah berkaitan dengan keperluan pegawai veterinar di sesebuah daerah besar seperti di Ranau dan Kota Marudu, ketidakcukupan bekalan ubat - ubatan untuk rawatan ternakan, pemberian subsidi makanan ternakan, kawalan penyakit, faktor - faktor yang menyumbang penurunan tingkat fertiliti ruminan dan pengurusan pastura.

 

Setelah sesi dialog, acara diteruskan dengan sesi demonstrasi pengambilan sampel darah dan tinja serta rawatan luka yang diketuai oleh Dr Noorsyakilah binti Mohamud dan dibantu oleh En. Justine Soligih, En. Mohd Zain Simpah dan En. Hairul Affenday bin Mohd Ali. Sesi demonstrasi pembuatan makanan alternatif ternakan juga telah disampaikan oleh Dr Candyrine Su Chui Len. Pihak penganjur juga telah menyediakan beberapa gerai pameran seperti pameran penyakit haiwan, demonstrasi pembuatan bebola daging dari Unit Industri Asas Tani (IAT) dan juga pameran dari peternak wilayah yang mempromosikan produk produk hasil ternakan seperti susu kambing, kek, dan telur itik.

 

Program ini diakhiri dengan acara merarau pada jam 1 petang. Kesimpulannya, program sebegini merupakan anjakan paradigma dalam menjadikan para penternak di wilayah Kudat menjadi yang berilmu agar mutu ternakan dapat ditingkat melalui  program penjagaan kesihatan ternakan dan pembuatan makanan alternatif ternakan. Program ini juga dilihat memberi impak yang besar bukan sahaja kepada penternak tetapi juga kepada anggota jabatan dalam memajukan lagi industri ruminan ini.

 

 

Disediakan oleh :

DR. NOORSYAKILAH BINTI MOHAMUD,

PENOLONG PENGARAH WILAYAH,

JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR SABAH,

WILAYAH KUDAT.

 

Gambar-gambar boleh didapati di Galeri.Foto