Laman Web Rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Department of Veterinary Services Sabah

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah

Hari Ladang Peringkat wilayah Beaufort

Pada 18 Jun 2022, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Beaufort telah mengadakan Program Hari Ladang Peringkat Wilayah Beaufort Tahun 2022 yang bertempat di Perkarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Beaufort. Program yang julung-julung kali diadakan di Wilayah Beaufort ini telah dihadiri dan dirasmikan sendiri oleh YBrs. Dr. Hjh. Normah Yusof, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. Program ini berlangsung selama 5 jam bermula daripada seawal jam 8.00 pagi sehingga 1.00 petang. Turut hadir dalam program ini adalah Dr. Maria Edward Kissey, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Robert Paulis, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komoditi, Dr. Teddy Marshall Denis, Penolong Pengarah Kanan Unit Ruminan, Dr. Lorren Adam, Penolong Pengarah Kanan Wilayah Kota Kinabalu, En. Yusrinsyam bin Yusop, Penolong Pengarah Seksyen Pentadbiran dan Pengurusan, Dr. Nur Hasreena Nadia Ahlun, Penolong Pengarah Seksyen Kuarantin & Import Eksport, Dr. Mischellena Samanthan Michael, Penolong Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Dr. Candyrine Su Chui Len, Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah, Sandakan.

 

Program Hari Ladang Wilayah Beaufort Tahun 2022 merupakan cetusan idea daripada YBrs. Dr. Hjh. Normah Yusof, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan telah dijayakan hasil kerjasama ahli Jawatankuasa Hari Ladang peringkat wilayah Beaufort dan Jawatankuasa Pelaksana Hari Ladang Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah.

 

Seramai 40 orang penternak telah hadir ke program yang mana 11 orang datangnya dari daerah Beaufort, 5 orang dari daerah Membakut, 3 orang dari daerah Bongawan, 10 orang dari daerah Papar, 3 orang dari daerah Sipitang, 6 orang dan 2 orang masing-masing dari Kuala Penyu dan Menumbok.

 

Program ini bermula dengan sesi pendaftaran para jemputan yang hadir sewal jam 7.30 pagi. Seterusnya, satu taklimat mengenai Program Kesihatan Ternakan Ruminan telah disampaikan oleh Dr. Dayang Ku Farah Ana Zaidun, Penolong Pengarah Wilayah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Beaufort kepada penternak yang hadir. Pada jam 10.00 pagi, beberapa demonstrasi telah dijalankan. Demonstrasi yang pertama adalah demonstrasi pengambilan sampel darah dan tinja pada ternakan kambing diikuti oleh demonstrasi rawatan luka dan demonstrasi pemotongan kuku pada ternakan kambing. Kesemua demonstrasi ini diketuai oleh Dr. Dayang Ku Farah Ana Binti Zaidun dan dibantu oleh Encik Zakaria Ramlin dan Encik Wan Rosmaini.

 

Pada jam 10.30 pagi, program diteruskan dengan ketibaan dan perasmian program oleh YBrs. Dr. Hjh. Normah Yusof, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. Diantara perkara yang diketengahkan oleh YBrs. Puan Pengarah didalam ucapannya adalah harapan beliau agar penganjuran Hari Ladang Peringkat Wilayah Beaufort ini dapat menjadi ruang bagi kerjasama strategik semua pemegang taruh termasuk pihak kerajaan, industri, akademia, dan komuniti untuk meningkatkan ilmu yang akhirnya akan memberi kesan positif dalam industri ternakan negeri Sabah. Selain itu, antara perkara lain yang ditekankan adalah harapan agar sesi dialog bersama penternak dapat dimanfaatkan sebagai medium perbincangan mengenai isu-isu pembiakan dan pembakaan, kawalan penyakit, teknologi penternakan dan makanan alternatif dimana hasil dialog ini mampu melahirkan penternak yang inovatif dan berdaya saing.

 

Seusai majlis perasmian, sekitar jam 10.50 pagi, program diteruskan lagi dengan sesi penghargaan kepada penternak yang dinobatkan sebagai Penternak Jaya Tahun 2022 iaitu En. Hafiz Marzuki, yang berasal daripada daerah Bongawan, Sabah. Penghargaan ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hjh. Normah Yusof, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. Seterusnya, kemeriahan Program Hari Ladang Wilayah Beaufort tahun 2022 diteruskan lagi dengan taklimat mengenai Pengurusan Pemakanan Ternakan Ruminan diikuti dengan demonstrasi Pembuatan Makanan Alternatif Ternakan yang disampaikan oleh Dr. Candyrine Su Chui Len, Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah.

 

Pada jam 12.30 tengahari, satu sesi dialog diadakan antara para penternak yang hadir dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah yang diwakili oleh YBrs Dr. Hjh. Normah Yusof, Dr. Maria Edward Kissey, Dr. Robert Paulis, Dr. Dayang Ku Farah Ana Binti Zaidun dan Dr. Candyrine Su Chui Len. Didalam sesi dialog ini, para panternak bebas mengutarakan soalan berkaitan ternakan mereka seperti isu pembiakan dan pembakaan, kawalan penyakit, teknologi penternakan dan makanan alternatif ternakan.

 

Sepanjang program ini berlangsung, pihak penganjur turut menyediakan 6 buah gerai pameran yang mana dua gerai datangnya daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, iaitu gerai pameran mengenai penyakit haiwan dan demonstrasi pembuatan bebola daging daripada Unit Industri Asas Tani (IAT) manakala 4 buah gerai lagi didatangkan daripada penternak-penternak Wilayah Beaufort yang mempamerkan dan mempromosikan produk-produk hasil ternakan seperti kambing perap, sabun susu kambing, telur burung puyuh, produk sarang burung walit dan makanan alternatif  ternakan yang diusahakan sendiri oleh penternak.

 

Program ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari pada jam 1.00 petang. Sebagai konklusinya, diharapkan agar penganjuran Program Hari Ladang Wilayah Beaufort tahun 2022 ini dapat menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman melalui taklimat dan demonstrasi yang telah pihak penganjur sediakan dan ilmu-ilmu yang dikongsikan dapat dipraktikkan untuk memajukan lagi ekonomi melalui industri penternakan di negeri Sabah khususnya di wilayah Beaufort.

 

Disediakan oleh:

DR. DAYANG KU FARAH ANA BINTI ZAIDUN

PENOLONG PENGARAH WILAYAH

JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR SABAH

WILAYAH BEAUFORT

Gambar-gambar boleh didapati di Galeri.Foto