
Penyerahan kunci Kuarters Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kalabakan serta Pejabat Baharu DVS Semporna telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tawau pada 3 dan 4 Mac 2026. Seterusnya, pihak JPS Tawau telah menyerahkan kunci tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Tawau sebagai agensi pengguna.
Proses penyerahan ini telah disaksikan oleh Dr. Debra G. Epun, Penolong Pengarah Kanan dari Seksyen Pembangunan Daerah bersama Pegawai Tadbir Puan Suriana Wan Sallehuddin (AO).
Dengan siapnya kemudahan ini, diharapkan ia dapat menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif kepada pegawai dan kakitangan jabatan. Selain itu, kemudahan pejabat baharu ini juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar kepada masyarakat, khususnya kepada para penternak di kawasan Kalabakan dan Semporna.
Penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih baik ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memperkukuh perkhidmatan veterinar serta menyokong pembangunan sektor penternakan di negeri ini.