
DVS Sabah telah menganjurkan kursus ini dengan kerjasama pihak Sawit Kinabalu. Kursus ini disertai oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada pengurus ladang syarikat GLC, penternak dan pegawai teknikal jabatan. DVS Sabah juga telah menjemput dua orang penceramah berpengalaman dalam bidang integrasi ternakan ruminan-kelapa sawit iaitu Dr. Azid Kabul dan Tuan Hasbudie bin Baco.
Melalui gabungan sesi teori dan praktikal, peserta didedahkan kepada prinsip dan model integrasi lembu-sawit yang merangkumi pengurusan ternakan secara integrasi, pengurusan sistem ragutan, pemakanan, kesihatan, serta kawalan biosekuriti ternakan serta penggunaan bahan buangan sawit sebagai sumber makanan ternakan. Pada masa yang sama, kursus ini turut berperanan sebagai platform strategik untuk mengenal pasti cabaran dan peluang pelaksanaan di lapangan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan, dan pengusaha ladang.
Penganjuran kursus ini merupakan salah satu usaha berterusan DVS Sabah dan Sawit Kinabalu dalam pemindahan ilmu dan teknologi seterusnya memperkasa kapasiti pemain industri. Ilmu dan pengalaman yang dikongsi sepanjang kursus menjadi asas kepada pelaksanaan sistem integrasi yang lebih tersusun dan berdaya saing di peringkat ladang.