Text Resize

-A A +A

Switch style

Kenyataan Akhbar YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Berhubung wabak Selesma Burung

Selesma Burung Dikesan dan Tindakan akan diambil dengan Serta Merta untuk kawalan penyakit.
 
Saya ingin memaklumkan bahawa sebelum ini memang terdapat kematian ayam yang tinggi di ladang seperti yang ditularkan (Viral).  Walaupun demikian mengikut 939 sampel yang diuji ketika itu secara berterusan memang semuanya didapati negatif dari sebarang jangkitan penyakit.
  
Namun mengikut hasil survalen yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) secara berterusan ke atas beberapa ladang, berdasarkan sampel yang diuji pada tarikh 31 Julai 2018 yang lalu telah mendapati satu ladang merekodkan hasil yang positif untuk penyakit Selesma Burung / Avian Influenza.
 
Sehubungan dengan penemuan tersebut, saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui Pegawai Daerah Tuaran untuk mengisytiharkan Daerah Tuaran sebagai kawasan wabak penyakit selesma burung.
 
Sebagai langkah untuk membendung wabak ini dari merebak ke daerah-daerah lain dalam Negeri ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan melaksanakan pelupusan semua unggas yang terdapat sekitar 1 km radius dari lokasi penyakit dikesan.  Jarak untuk pelupusan unggas ini akan diperluas sehingga 5 km radius sekiranya hasil survalen mendapati sampel positif di luar kawasan 1 km tersebut.  Pasukan penguatkuasa DVS Sabah juga akan memastikan tidak ada unggas dibawah keluar dari kawasan wabak.
 
Disamping itu, kempen kesedaran akan terus dijalankan untuk memastikan masyarakat faham tentang apa yang sedang berlaku dan memberikan kerjasama yang diperlukan.
 
Sukacita saya maklumkan bahawa daging ayam dan telur yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan disebabkan telah melalui pemeriksaan yang ketat sebelum dipasarkan.  Memasak dengan sempurna adalah perlu oleh kerana virus amat mudah dimusnahkan dengan haba.
 
Saya memohon para penternak unggas di Negeri ini untuk memaklumkan kepada Pejabat DVS Sabah yang terdekat sekiranya terdapat kematian ayam yang melebihi 3 peratus dalam satu masa di kawasan masing-masing.  Disamping itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak risau mengenai dengan wabak ini kerana kawasan yang terlibat akan dikawal sepenuhnya dalam tempoh satu bulan.
 
YB WONG HONG JUN @ JUNZ WONG
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah

Last updated: 13/09/2018